Pasaran Niaga Hadapan atau lebih
dikenali sebagai FCPO (Crude Palm Oil Futures) sangat berjaya
dan telah diperkenalkan sejak Oktober tahun 1980 di Bursa Malaysia. Ianya telah
menjadi ukuran bagi harga minyak sawit mentah dan harga lelemak/minyak sayuran
global bagi pengurusan risiko dengan kecairan pasaran yang
tinggi. Aset pendasar untuk FCPO adalah Minyak Sawit Mentah (MSM/CPO)
yang digunakan sebagai minyak masak dan lelemak (shortening). Ia
juga digunakan dalam pelbagai produk lain seperti sabun, mentega, sebatian
minyak sayur-sayuran (soya, bunga matahari dsb) dan dalam industri penggorengan
makanan ringan seluruh dunia.
Kebiasaannya FCPO sering dianggap
sebagai instrumen pelaburan yang berisiko tinggi terutama bagi pelabur/pedagang
yang baru terlibat dalam aktiviti ini berbanding mereka yang telah
berpengalaman dan memahami ciri-ciri uniknya. Ini adalah kerana FCPO
merupakan pasaran yang berbentuk dua hala iaitu keuntungan boleh dijana
samada ketika pasaran naik (bullish) atau turun (bearish)
begitu juga dengan kerugian sekiranya pelabur/pedagang tersalah membaca
arah pasaran. Namun begitu, risiko dapat dikurangkan sekiranya pelabur/pedagang
dapat memahami ciri-ciri uniknya dengan mempelajari teknik-teknik tertentu
seperti teknikal analisis dan analisis fundamental secara
khusus mengenai pasaran minyak sayuran dunia. Sila lihat gambarajah di
bawah mengenai pengeluaran dan penggunaan minyak sayuran global dari tahun
2009.
FCPO
adalah merupakan salah satu instrumen pelaburan yang boleh digunakan untuk
melindung nilai (hedging) harga Minyak sawit mentah yang tidak menentu dengan
menggunakan akaun margin. Pelabur atau peserta juga dapat mengambil manfaat
daripada leveraj dan mereka boleh memulakan pelaburan dengan nilai nominal yang
kecil bagi kontrak niaga hadapan. Namun pelabur juga harus memahami baik dan
buruknya apabila mengambil leveraj dalam perdagangan niaga hadapan. Ia akan
memberi impak yang lebih apabila berlaku perubahan harga dan memberikan kesan
negatif dan positif kerana niaga hadapan akan memperoleh keuntungan yang
berganda sekiranya harga menaik atau menurun. Namun, kerugian yang dialami juga
akan berganda sekiranya tersilap membaca arah trend pergerakan harga tersebut.
Oleh kerana itu amat penting bagi peserta yang masih baru dalam instrumen
derivatif untuk melengkapkan diri dengan pemahaman yang menyeluruh sebelum
memulakan perdagangan komoditi niaga hadapan ini.
No comments:
Post a Comment